MyHSR Corp tapis 7 konsortium serah cadangan konsep projek HSR

MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) akan menyenarai pendek serta menapis tujuh konsortium tempatan dan antarabangsa yang sudah menyerahkan cadangan konsep bagi projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Mengesahkan perkembangan itu, Pengerusi MyHSR Corp, Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman berkata ia susulan daripada arahan kerajaan.

“Kerajaan minta MyHSR memperhalusi semula tujuh konsortium yang sudah menyerahkan cadangan konsep bagi disenarai pendek lagi kepada hanya beberapa yang terbaik.

“Berapa jumlah senarai pendek daripada tujuh konsortium itu kita tidak dapat dedahkan, namun ia akan dilakukan dalam masa terdekat.

“MyHSR sebelum ini sudah mengkaji sebaik-baiknya sebelum mencadangkan tujuh konsortium yang sanggup membina HSR dengan kos sendiri dengan tidak membabitkan bantuan kewangan kerajaan.

“Terpulang kepada penilaian kerajaan dan buat keputusan serta pilihan terbaik terhadap syarikat yang lembaga akan senarai pendek nanti,” katanya

Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata komitmen kerajaan membabitkan projek mega terpaksa ditangguhkan pada masa ini kerana perlu menyelesaikan beberapa isu tertunggak.

Perdana Menteri dilaporkan berkata kerajaan berdepan kekangan dan kini memberi tumpuan kepada projek membabitkan rakyat seperti mitigasi banjir dan infrastruktur asas.

Sehubungan itu, katanya, keputusan untuk menghidupkan semula projek HSR Kuala Lumpur-Singapura bergantung kepada pembabitan sepenuhnya sektor swasta tanpa membebankan kerajaan.

Januari lalu, sebanyak tujuh konsortium tempatan dan antarabangsa dilaporkan menyerahkan cadangan konsep bagi projek HSR KL-Singapura kepada MyHSR.

Tujuh konsortium itu terdiri daripada 31 firma yang mewakili spektrum penuh projek berkenaan.

Penyerahan cadangan konsep untuk projek HSR KL-Singapura itu adalah sebagai maklum balas kepada Permintaan Maklumat (RFI) yang dilancarkan oleh MyHSR Corp pada Julai 2023 dengan tarikh akhir bagi penyerahan adalah 15 Januari 2024.

Awal tahun lalu, agensi berita Jepun, Kyodo News yang memetik sumber, syarikat Jepun termasuk East Japan Railway Co, menarik diri daripada bidaan projek HSR KL-Singapura berikutan mereka memutuskan ia akan menjadi terlalu berisiko tanpa sokongan kewangan kerajaan Malaysia.

September tahun lalu media mendedahkan tiga konsortium telah disenarai pendek dan melalui penilaian untuk peringkat kertas cadangan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR KL-SG) oleh MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp).

Kos keseluruhan asal pembinaan HSR untuk laluan sepanjang 350 kilometer dianggarkan membabitkan belanja RM110 bilion.

Ditanya mengenai asas pertimbangan syarikat yang akan disenarai pendek daripada tujuh konsortium tempatan dan antarabangsa yang tersenarai, Fauzi berkata, MyHSR mempunyai beberapa kriteria tertentu dalam membuat penilaian.

Namun katanya, kriteria yang digunakan tidak boleh didedahkan.

“Tujuh konsortium yang disenaraikan sebelum ini membabitkan gabungan syarikat tempatan dan antarabangsa yang terbaik dan mempunyai kelebihan masing-masing.

“Sudah pasti MyHSR akan membuat penilaian sebaik-baiknya sebelum membuat senarai pendek daripada tujuh konsortium tersenarai sebelum menyerahkan laporan lengkap untuk penilaian akhir kerajaan nanti,” katanya.

Back To Top