Kerjasama NVIDIA Perkukuh Kedudukan Malaysia Sebagai Pemain Cip Global

KUALA LUMPUR: Pelaburan strategik NVIDIA di Malaysia dilihat penting dalam memperkukuhkan kedudukan negara sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan cip global, berikutan tumpuan syarikat tersebut terhadap seni bina cip khusus, menurut seorang pakar.

Kerjasama NVIDIA dengan YTL menyaksikan pelaburan bernilai RM20 bilion dibawa masuk ke Malaysia, yang dijangka memberi impak positif kepada industri teknologi tempatan.

Profesor Sejarah Antarabangsa, Prof Dr Chris Miller dari The Fletcher School, Tufts University, menjelaskan bahawa meskipun NVIDIA merupakan syarikat cip terbesar dunia, ia hanya memberi tumpuan kepada reka bentuk cip dan tidak terlibat dalam aspek pembuatan, pembungkusan atau pemasangan. Namun demikian, NVIDIA kekal sebagai peneraju pasaran berdasarkan nilai pasaran.

“Saya fikir trend ini serta peningkatan tumpuan pada reka bentuk cip adalah sangat relevan untuk Malaysia yang sedang berusaha mempelbagaikan peranannya dalam rantaian bekalan cip global,” katanya pada Forum Ekonomi Malaysia 2025.

Firma teknologi utama seperti NVIDIA, yang memiliki kepakaran dalam reka bentuk cip untuk kecerdasan buatan (AI), menjadi peneraju dalam perkembangan teknologi paling pesat masa kini.

“Banyak syarikat gergasi seperti Microsoft, Alibaba, Baidu dan Facebook kini mereka cip mereka sendiri kerana menyedari keupayaan cip khusus yang direka sesuai dengan keperluan mereka dapat meningkatkan kecekapan menjalankan beban kerja AI,” tambahnya.

Di Malaysia, NVIDIA dan YTL bekerjasama membangunkan pusat data AI bernilai RM20 billion di Johor.

Menurut beliau, kepakaran khusus dalam reka bentuk cip tidak hanya mendorong kemajuan industri tetapi juga memperkukuh kuasa syarikat teknologi utama dengan memberikan akses kepada pengkomputeran berprestasi tinggi pada kos yang lebih rendah.

Miller turut menegaskan bahawa landskap geopolitik yang kian kompleks memberi peluang dan risiko kepada Malaysia dalam sektor strategik ini.

“Perubahan geopolitik serta pempolitikan setiap segmen reka bentuk dan pembuatan cip kini memaksa syarikat Malaysia menilai bukan sahaja aspek ekonomi tetapi juga politik rantaian bekalan,” jelasnya.

Malaysia, yang telah menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan semikonduktor global selama lima dekad, mempunyai potensi besar untuk berkembang dalam era pembungkusan termaju.

“Keupayaan pembungkusan dan pemasangan yang cemerlang di Malaysia sedang melalui perubahan besar. Setiap pemproses AI kini memerlukan keupayaan pembungkusan terkini yang bakal mengubah landskap industri,” ujarnya.

Tambah Miller, kekuatan Malaysia dalam pembungkusan serta pemasangan akan terus berkembang dengan peningkatan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan, meskipun persaingan daripada ekonomi maju dijangka semakin sengit.

– BERNAMA

Back To Top