Yinson menang lanjutan kontrak sewa kapal bernilai AS$36.2 juta

KUALA LUMPUR: Unit perniagaan pengeluaran luar pesisir Yinson Holdings Bhd (Yinson), Yinson Production, meraih lanjutan kontrak sewa kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) PTSC Lam Son selama tambahan 18 bulan, dengan lanjutan automatik selama enam bulan lagi.

Jumlah nilai kontrak sewa kapal tanpa kru itu termasuk tempoh lanjutan automatik adalah kira-kira AS$36.2 juta.

Daripada jumlah kontrak itu, kira-kira AS$17.7 juta diperuntukkan kepada Yinson Production.

FPSO PTSC Lam Son dimiliki secara bersama sebanyak 49 peratus oleh Yinson Production manakala 51 peratus lagi oleh PetroVietnam Technical Services Corporation melalui usaha sama PTSC Asia Pacific Pte Ltd.

Yinson dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, lanjutan kontrak itu akan bermula pada 1 Januari 2025 dan berterusan sehingga 30 Jun 2026, diikuti dengan lanjutan automatik sehingga 31 Disember 2026, tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

“Lanjutan kontrak ini menekankan perkongsian kukuh yang kami bina dengan PTSC sebagai rakan usaha sama selain keupayaan gabungan kami untuk menyediakan operasi yang boleh dipercayai dan berkualiti tinggi kepada pelanggan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Yinson Production, Flemming Grønnegaard.

FPSO ini beroperasi untuk PetroVietnam di Blok 1-2/97 luar pesisir Vietnam sejak 2014.

-BERNAMA

Back To Top