Kurang dua minggu lagi, kita akan menyambut 2025, menandakan tahun ketiga pentadbiran Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tahun ketiga pentadbiran adalah fasa kritikal yang mana rakyat dan pihak berkepentingan mula menilai hasil dasar serta inisiatif kerajaan.
Menyahut cabaran ini, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengambil langkah strategik untuk menjadikan Malaysia sebagai hab teknologi global, selaras dengan visi Perdana Menteri.
MOSTI berusaha menjadikan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) bukan hanya pemangkin ekonomi, tetapi alat utama meningkatkan kesejahteraan rakyat dan pemacu transformasi negara.
Langkah ini sejajar aspirasi beliau untuk mengangkat Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi. Aspirasi itu memfokuskan tiga matlamat utama.
Pertama, menjadikan Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi dan hab inovasi global dengan tumpuan kepada pembangunan mampan, ekonomi digital serta kesejahteraan rakyat.
Kedua, menjadikan STI sebagai bidang inklusif yang memberi manfaat kepada semua masyarakat, terutama luar bandar dan golongan rentan.
Ketiga, menjadikan Malaysia hab inovasi serantau dan pusat teknologi global dengan memberi fokus kepada sektor strategik seperti bioteknologi, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi hijau.
Bagi mencapai aspirasi ini, MOSTI merangka beberapa pendekatan utama.
Pertama, membangunkan ekonomi berteknologi tinggi dengan menempatkan Malaysia sebagai penggiat utama dalam industri global, melalui pemerkasaan inovasi digital, bioteknologi dan AI.
Kedua, memastikan pembangunan STI inklusif dan berorientasikan rakyat dengan memanfaatkannya sebagai alat meningkatkan taraf hidup, terutama mengatasi cabaran sosioekonomi seperti keterjaminan makanan, peningkatan kesihatan dan kesejahteraan hidup masyarakat.
Ketiga, mengembangkan inovasi berfokus pada keperluan setempat melalui pelaksanaan Dasar Inovasi Sosial (DIS), bertujuan mencipta penyelesaian inovatif bagi cabaran unik masyarakat, seperti pembangunan komuniti mampan, peningkatan kualiti hidup dan pengupayaan golongan rentan.
Keempat, memperkukuh keterjaminan teknologi negara dengan memacu pengkomersialan hasil penyelidikan melalui program strategik seperti Sandbox Inovasi dan Teknologi Nasional (NTIS), MYHackathon, Portal Akses Tunggak Pengkomersilan (CSA) serta Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY Summit), menyediakan platform holistik untuk inovasi diterjemahkan kepada impak ekonomi dan sosial.
Terakhir, memupuk budaya sains dan teknologi dalam kalangan generasi muda melalui program pembelajaran interaktif serta latihan kemahiran tinggi, untuk membekalkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran diperlukan. Sepanjang dua tahun, MOSTI mencatatkan pelbagai kejayaan signifikan memberi impak besar kepada pembangunan negara, terutama dalam bidang STI.
Malaysia ke-33 dalam GII 2024
Antara pencapaian utama MOSTI adalah lonjakan Malaysia ke tangga ke-33 dalam Indeks Inovasi Global (GII) 2024, tertinggi sejak 2016.
Selain itu, GII turut menyenaraikan Kuala Lumpur di tempat ke-93 dalam Senarai 100 Terbaik Kluster Sains dan Teknologi Dunia.
Bagi memperkukuh lagi kedudukan ini, MOSTI sedang membangunkan Indeks Inovasi Malaysia (MII) bertujuan menghasilkan profil ekosistem inovasi di setiap negeri.
MOSTI turut memperkenalkan Pelan Hala Tuju Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan dan Ekonomi Negara (RDICE).
Ia dirancang untuk menyumbang RM9.21 trilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030. Inisiatif ini bertujuan memperkasa sektor penyelidikan dan inovasi, sekali gus memperkukuhkan asas ekonomi negara.
Dalam bidang bioteknologi, MOSTI menyokong lebih 520 syarikat melalui pelbagai program seperti Bio-based Accelerator dan inisiatif BioNexus.
Antara kejayaan terbesar adalah apabila ALPS Global Holding Bhd diiktiraf sebagai syarikat bioteknologi pertama mencapai status unicorn.
Selain itu, sasaran pelaburan baharu dalam sektor bioteknologi turut melampaui RM1 bilion, sekali gus memperkukuhkan sektor ini sebagai pemacu utama ekonomi masa depan Malaysia.
Teknologi AI turut mendapat perhatian serius MOSTI. Pelancaran Program Perintis AI Sandbox dengan kerjasama NVIDIA pada April lalu bertujuan memperkasa penggunaan AI dengan menggalakkan pembangunan bakat dalam bidang ini melalui kolaborasi antara kerajaan dan industri.
Inisiatif ini memfokuskan kepada pengembangan lebih 13,000 bakat baharu dan penyertaan 900 syarikat pemula menjelang 2026.
MOSTI juga memperkenalkan Kod Tadbir Urus dan Etika AI (AIGE) sebagai panduan bagi industri untuk memastikan pembangunan AI yang beretika.
Kod ini menekankan prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan, memastikan teknologi AI memberi manfaat kepada masyarakat dengan mematuhi standard moral dan sosial tinggi, memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap penggunaannya.
Melalui Projek MyGenom, MOSTI meningkatkan kesejahteraan rakyat menggunakan teknologi genetik untuk menyediakan data genom rakyat sebagai asas rawatan perubatan tepat.
Dalam sektor pertanian, benih padi NMR152 dibangunkan dengan teknologi nuklear berjaya meningkatkan hasil pengeluaran padi tempatan dan mengurangkan kebergantungan import makanan.
Pada peringkat komuniti, inisiatif Kampung Angkat MADANI membawa teknologi pintar seperti tenaga boleh diperbaharui dan sistem pertanian moden ke luar bandar, menyelesaikan masalah setempat dan meningkatkan kualiti hidup penduduk.
Namun, MOSTI masih berhadapan cabaran kekurangan tenaga mahir dalam STI yang menghalang daya saing Malaysia di peringkat global.
Sehubungan itu, MOSTI giat memperkukuhkan pendidikan STEM melalui kerjasama erat dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memastikan penghasilan bakat berkualiti dalam bidang ini.
Selain itu, masalah kekurangan penyelarasan antara agensi dalam tadbir urus STI menyebabkan pertindihan tugas dan pembaziran sumber.
Bagi mengatasi isu ini, MOSTI merangka kerangka tadbir urus STI lebih inklusif untuk memperkukuh kerjasama antara pemegang taruh, sekali gus meningkatkan keberkesanan dan keberkesanan dalam pelaksanaan dasar STI.
Pembabitan sektor industri dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) masih rendah dan tidak melihat STI sebagai peluang pelaburan.
Bagi mengatasi hal ini, MOSTI memperkenalkan insentif kewangan dan program galakan untuk merangsang kolaborasi antara industri dan akademik, serta mempercepatkan pengkomersialan hasil penyelidikan demi memanfaatkan potensi STI.
Kesimpulannya, kejayaan dicapai sepanjang dua tahun ini membuktikan gabungan dasar strategik, inovasi berimpak tinggi dan kerjasama pelbagai pihak mampu membawa Malaysia lebih jauh.