Jualan besar-besaran di Wall Street, kebanyakan saham Bursa Malaysia jatuh

Saham di Bursa Malaysia ditutup kebanyakannya rendah susulan aktiviti penjualan besar-besaran di Wall Street semalaman terutamanya dalam saham teknologi, kata seorang penganalisis.

Bagaimanapun pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik sedikit sebanyak 0.03 peratus atau 0.51 mata kepada 1,600.09 daripada paras penutup 1,599.58 pada Rabu.

Indeks utama itu dibuka rendah turun 4.40 mata kepada 1,595.18 dan bergerak antara paras 1,590.83 dan 1,600.73 sepanjang hari dagangan.

Keseluruhan pasaran kekal negatif apabila apabila kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 693 berbanding 369, manakala 540 kaunter tidak berubah, 870 tidak diniagakan dan 49 digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.20 bilion unit bernilai RM3.03 bilion daripada 2.55 bilion unit bernilai RM2.29 bilion sebelumnya.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) memberikan bayangan bahawa ia boleh mengurangkan kemajuan kadar penurunan kadar faedah pada 2025 berbanding jangkaan awal sebelum ini.

Beliau berkata, persekitaran perniagaan global diselubungi oleh ketidakpastian, dipengaruhi oleh perkembangan ekonomi di luar negara dan harga komoditi yang tidak menentu.

Di peringkat tempatan, Pak Leng berkata, pada penilaian semasa, indeks penanda aras didagangkan di bawah 15 kali harga kepada pendapatan (PER), jauh di bawah purata 10 tahunnya sekitar 18 kali.

“Kami percaya ini memberi peluang kepada pelabur untuk mengumpul saham mewah atau saham yang mempunyai asas kukuh.

“Selain itu, kami menjangkakan FBM KLCI akan mencatatkan lantunan semula, kemungkinan berada dalam aliran jajaran 1,595 hingga 1,605 menjelang hujung minggu,” katanya.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, YTL Corporation melonjak 41 sen kepada RM2.55, YTL Power International meningkat 42 sen kepada RM4.08, CIMB menambah 2.0 sen kepada RM8.04, Petronas Gas menokok 10 sen kepada RM17.50, CelcomDigi naik 1.0 sen kepada RM3.61 dan Telekom meningkat 2.0 sen kepada RM6.63.

YTL Corporation dan YTL Power International juga menjadi antara saham yang paling cergas.

Saham cergas lain termasuklah Winstar Capital yang memulakan dagangan sulung di Pasaran ACE naik 16 sen kepada 51 sen, Top Glove dan Supermax meningkat 2.0 sen masing-masing kepada RM1.40 dan RM1.24, manakala MYEG turun setengah sen kepada 94 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Shariah menyusut 58.73 mata kepada 12,263.76, Indeks FBM Emas turun 3.81 mata kepada 12,276.98 dan Indeks FBMT 100 berkurangan 0.29 mata kepada 11,965.13.

Indeks FBM 70 turun 15.55 mata kepada 18,434.08, tetapi Indeks FBM ACE naik 9.96 mata kepada 5,256.40.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.59 mata kepada 170.90, Indeks Tenaga turun 4.25 mata kepada 811.06, Indeks Perladangan jatuh 46.65 mata kepada 7,586.11 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 55.65 mata kepada 15.840.54. 

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.70 bilion unit bernilai RM2.77 bilion berbanding 1.36 bilion unit bernilai RM2.06 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran menambah kepada 1.06 bilion unit bernilai RM103.11 juta daripada 672.44 juta unit bernilai RM66.70 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 441.94 juta unit bernilai RM161.02 juta berbanding 517.27 juta unit bernilai RM155.22 juta sebelum ini.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 187.76 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (300.73 juta), pembinaan (86.41 juta), teknologi (267.74 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (67.06 juta), hartanah (220.86 juta), perladangan (38.52 juta), REIT (16.28 juta), dana tertutup (50,300), tenaga (90.27 juta), penjagaan kesihatan (174.91 juta), telekomunikasi dan media (25.51 juta), pengangkutan dan logistik (34.09 juta), utiliti (188.20 juta) dan amanah perniagaan (324,600).

Sementara itu, Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya akan ditutup pada 25 Disember sempena cuti umum Hari Krismas dan pada 1 Januari 2025 sempena Tahun Baharu.

Bursa Malaysia dalam satu kenyataan berkata, bursa tempatan itu dan anak syarikatnya akan menyambung semula operasi masing-masing pada 26 Disember dan 2 Januari 2025.

— BERNAMA

Back To Top