SPRM bersih nama saya daripada salah laku, kata Halim Saad

Taikun Halim Saad berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membersihkan namanya daripada siasatan atas dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion membabitkan pembelian saham syarikat tersenarai oleh sebuah konglomerat Malaysia 26 tahun lalu.

Menurutnya, beliau menerima surat rasmi daripada agensi antirasuah itu pada 4 Dis 2023.

“Surat ini mengesahkan tiada bukti sebarang salah laku di pihak saya berhubung siasatan itu,” katanya dalam kenyataan.

Tetapi katanya, beliau masih terbabit dalam siasatan SPRM sebagai saksi.

“Saya tetap komited memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa ketika mereka meneruskan tugas mereka.”

Halim berkata demikian susulan siasatan yang dimulakan SPRM pada Mei 2023 berhubung tokoh politik dari 1990-an.

Ketika itu, media melaporkan Halim menafikan dakwaan dirinya disoal siasat SPRM sebagai sebahagian siasatannya.

Media melaporkan SPRM sedang menyiasat seorang bekas menteri kanan dan seorang ahli perniagaan bergelar “Tan Sri” berhubung dakwaan penyelewengan dana negara.

Halim, yang kini terbabit industri minyak dan gas di luar negara, mengecam akhbar The Edge kerana mengaitkannya dengan pemerolehan saham bernilai RM2.3 bilion.

The Edge mendakwa sumber SPRM mengesahkan transaksi itu membabitkan pembelian 32.6% kepentingan atau 722.9 juta saham dalam Renong Bhd oleh United Engineers (M) Bhd (UEM) pada harga RM2.3 bilion pada November 1997, di tengah-tengah krisis kewangan Asia.

The Edge turut menerbitkan semula tiga artikelnya mengenai pemerolehan saham Renong UEM dari November 1997 untuk “menyegarkan ingatan pembaca”.

Halim dilaporkan berkata, artikel itu menimbulkan spekulasi tidak berasas mengenainya dan perbalahan berhubung peranannya dalam pembelian saham Renong oleh UEM.

Mac lalu, saluran berita Singapura, CNA melaporkan SPRM sedang menyiasat pemegang saham utama pemaju hartanah, BRDB Developments Sdn Bhd, Akbar Khan berhubung dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah, di mana ahli perniagaan Singapura itu sebahagian daripada senarai semakin meningkat bagi individu disiasat dalam siasatan agensi berkenaan terhadap bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin.

CNA melaporkan SPRM telah menyiasat bekas pengerusi Malaysia Airlines, Tajudin Ramli dan siasatan itu turut membawa kepada “pengauditan berasingan, tetapi berkaitan urusan” membabitkan Halim serta Tan Hua Choon, pengerusi Spanco Sdn Bhd.

Back To Top