KUALA LUMPUR: Penyitaan akaun bank milik Parti BERSATU dibuat berdasarkan peruntukkan undang-undang dan tidak dibuat sewenang-wenangnya.
Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegaha Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, akaun bank berkenaan adalah ‘subject matter’ dan tidak akan dilepaskan sehingga selesai perbicaraan.
“Sitaan akaun bank Bersatu adalah tertakluk kepada Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLAFTPUAA) 2001.
“Seksyen 50(1) adalah berkenaan dengan ‘Penyitaan harta alih dalam institusi kewangan’ dan dalam kes ini, mengikut seksyen tersebut, Pendakwa Raya (DPP) menggunakan kuasanya untuk mengarahkan supaya harta alih di institusi kewangan itu disita serta mengarahkan institusi kewangan supaya tidak melepaskan atau melupuskan harta alih yang terbabit sehingga perintah itu diubah atau dibatalkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, tempoh perintah penyitaan yang dibangkitkan itu adalah jelas dinyatakan dalam Seksyen 52A dalam akta yang sama.
“Ia menyatakan sesuatu perintah penyitaan yang dibuat mengikut akta ini hendaklah terhenti berkuat kuasa selepas tamat tempoh 12 bulan dari tarikh perintah penyitaan itu, sekiranya orang yang terhadap perintah itu tidak dipertuduh dengan suatu kesalahan mengikut akta ini.
“Adalah jelas, kes ini mendapat izin mendakwa dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden BERSATU dituduh mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001),” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihak BERSATU sudah memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan SPRM menyita akaun banknya untuk siasatan pada 29 Mei 2023.
“Pada 30 Oktober 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sudah pun membenarkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman BERSATU berkenaan serta menetapkan tarikh perbicaraan pada 24 September 2025.
“Saya berharap orang ramai memahami segala tindakan pihak berkuasa dalam pendakwaan kes ini adalah tertakluk kepada peruntukan akta, dan bagi orang yang dituduh, segala peluang untuk membela diri serta membuktikan dirinya tidak bersalah juga ada tempatnya di sisi undang-undang,” katanya.
Media semalam melaporkan BERSATU sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap SPRM dan bank berkaitan susulan pembekuan akaun parti berkenaan.
Muhyiddin mendakwa tindakan pembekuan akaun bank yang dikenakan SPRM terhadap BERSATU adalah satu penyalahgunaan kuasa kerana parti berkenaan tidak pernah dituduh atas kesalahan undang-undang.