Berjaya Corp jual 32 juta saham REDtone bernilai RM29.76 juta

Juara Sejati Sdn Bhd (JSS), anak syarikat milik penuh Berjaya Corporation Bhd (BCorp) melupuskan 32 juta saham yang mewakili kira-kira 4.14% kepentingan ekuiti dalam REDtone Digital Bhd pada harga RM29.76 juta atau 93 sen sesaham.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, BCorp berkata berikutan pelupusan itu yang dibuat melalui transaksi perniagaan langsung, BCorp dan anak syarikatnya kini memegang sejumlah 283.28 juta saham, mewakili kira-kira 36.65% kepentingan ekuiti dalam REDtone.

“Hasil tunai daripada pelupusan itu akan digunakan untuk membayar balik pinjaman dan/atau sebagai modal kerja untuk BCorp Group,” katanya, lapor Bernama.

Pelupusan itu akan membolehkan kumpulan berkenaan merealisasikan sebahagian daripada pelaburannya dalam REDtone.

BCorp menambah, pelupusan itu tidak akan menjejaskan modal saham terbitannya, pegangan saham oleh pemegang saham yang besar, aset bersih, pendapatan atau penggearan untuk tahun kewangan semasa berakhir 30 Jun 2025.

Syarikat itu juga berkata, pelupusan berkenaan dijangka meningkatkan ekuiti (di bawah rizab yang disatukan) dalam penyata kedudukan kewangan BCorp Group sebanyak kira-kira RM7.68 juta

Back To Top