Status kewangan U Mobile Sdn. Bhd. Kini menjadi persoalan berkaitan ketelusan kewangannya apabila dua laporan berbeza bagi tahun kewangan 2023 menunjukkan perbezaan ketara dalam jumlah aset dan ekuiti syarikat.
Ini selepas Pengerusi U Mobile, Tan Sri Vincent Tan memaklumkan bahawa U Mobile beroperasi dengan rekod pencapaian yang signifikan, termasuk mencatatkan hasil RM3.5 bilion pada tahun 2023, keuntungan bersih RM102 juta, dan jumlah aset bernilai RM6.2 bilion.
“Dengan lebih RM5 bilion pelaburan daripada sektor swasta, kami telah membina lebih daripada 10,000 tapak rangkaian, menawarkan perkhidmatan yang kompetitif 20–25 peratus lebih murah daripada pesaing, sambil membiayai pertumbuhan kami sendiri,” katanya.
Melalui semakan kami menggunakan dokumen yang diperolehi Suruhanjaya Syarikat Malaysia ianya mencatatkan jumlah aset jauh lebih rendah, iaitu hanya RM6.221 juta.
Jumlah aset adalah hasil daripada RM5,319,000.00 (aset bukan semasa) ditambah dengan RM902,000.00 (aset semasa), yang membawa kepada RM6,221,000.00.
Selain itu, laporan itu juga menunjukkan retained earnings negatif sebanyak -RM3.951 juta, mencerminkan kerugian terkumpul yang besar, yang bertentangan dengan gambaran kestabilan dan pertumbuhan ekuiti yang dilaporkan sebelumnya.
Di dalam artikel temubual bersama MalayMail, Vincent tan menyatakan U Mobile mencatatkan jumlah aset sebanyak RM2.1 bilion, dengan penurunan kecil sebanyak 0.21% berbanding tahun sebelumnya. Laporan itu juga menyatakan peningkatan dalam ekuiti syarikat sebanyak 7.2%, menandakan pertumbuhan yang sihat dan kestabilan kedudukan kewangan syarikat.
Perbezaan ini menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pemegang saham dan pemerhati pasaran. Terdapat spekulasi bahawa laporan dalaman ini mungkin hanya mencerminkan entiti kecil dalam kumpulan U Mobile atau anak syarikat tertentu, tetapi setakat ini tiada penjelasan rasmi yang diberikan.
Para pelabur kini menantikan penjelasan daripada pihak pengurusan U Mobile untuk memahami sumber perbezaan ini. Pihak syarikat dijangka memberikan maklumat lanjut bagi memastikan ketelusan dan keyakinan terhadap kedudukan kewangan mereka di pasaran.
ANALISIS DATA SSM
Menerusi laporan yang diperolehi dari SSM, (Dengan menepikan angka juta ataupun bilion) analisis ringkas mengenai kedudukan kewangan dan prestasi syarikat bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2023, Aset bukan semasa syarikat dilaporkan pada nilai RM5,319,000.00, meliputi harta tetap dan pelaburan jangka panjang.
Aset semasa yang berjumlah RM902,000.00 pula merangkumi item seperti tunai dan inventori. Dari segi liabiliti, syarikat mempunyai hutang jangka panjang sebanyak RM5,403,000.00 serta hutang jangka pendek sebanyak RM2,133,000.00.
Dengan modal saham berjumlah RM2,636,000.00, syarikat itu menghadapi cabaran dengan pendapatan terkumpul negatif sebanyak -RM3,951,000.00, menandakan kerugian terkumpul dari tahun-tahun sebelumnya.
Syarikat itu mencatatkan pendapatan sebanyak RM3,505,000.00, dengan keuntungan sebelum cukai RM69,000.00 dan keuntungan selepas cukai RM102,000.00. Walaupun mencatatkan keuntungan bersih, jumlah tersebut adalah kecil berbanding pendapatan keseluruhan, dengan tiada laporan mengenai dividen dibayar kepada pemegang saham.
RISIKO PELABURAN
Syarikat ini juga berdepan cabaran besar dalam kedudukan kewangannya apabila penyata kewangan terkini menunjukkan liabiliti yang tinggi dan keuntungan bersih yang rendah, menimbulkan kebimbangan terhadap daya tahan kewangan syarikat dalam jangka masa terdekat.
Menurut laporan kewangan, syarikat mencatatkan jumlah liabiliti sebanyak RM7.536 juta, yang terdiri daripada hutang jangka panjang berjumlah RM5.403 juta dan hutang jangka pendek sebanyak RM2.133 juta.
Kedudukan hutang ini menandakan kebergantungan yang signifikan terhadap pembiayaan luaran, yang berpotensi membebankan aliran tunai syarikat, terutamanya jika kadar faedah meningkat atau jika syarikat gagal mencapai pertumbuhan pendapatan yang mencukupi untuk menampung kos faedah dan pembayaran hutang.
Keadaan menjadi lebih mencabar apabila aset semasa syarikat hanya bernilai RM902,000, jauh lebih rendah daripada jumlah liabiliti jangka pendek. Ini mewujudkan jurang kecairan yang besar dan menimbulkan risiko bahawa syarikat mungkin sukar memenuhi komitmen kewangan jangka pendek tanpa mendapatkan sumber pembiayaan tambahan atau menjual aset tetap.
Di samping itu, margin keuntungan syarikat berada pada tahap yang sangat rendah. Walaupun mencatatkan pendapatan sebanyak RM3.505 juta, keuntungan sebelum cukai hanyalah RM69,000, manakala keuntungan selepas cukai adalah RM102,000.
Ini bermaksud syarikat hanya memperoleh keuntungan bersih yang kecil berbanding pendapatan keseluruhannya, menunjukkan margin keuntungan yang lemah. Beban operasi dan liabiliti tinggi dilihat sebagai faktor utama yang menekan keuntungan syarikat.
Pendapatan terkumpul negatif sebanyak -RM3.951 juta dalam laporan kewangan turut menandakan kerugian terkumpul daripada tahun-tahun terdahulu, yang menjejaskan ekuiti pemegang saham dan menyukarkan syarikat untuk mengukuhkan modalnya.
Ini membawa implikasi serius kepada para pelabur, yang mungkin mempersoalkan keberlangsungan syarikat dalam mengekalkan pertumbuhan tanpa penyelesaian terhadap kedudukan hutang dan kos operasinya.
Pakar kewangan menyarankan agar syarikat mempertimbangkan langkah pengurangan liabiliti dan pelarasan kos operasi untuk meningkatkan keuntungan bersih dan memastikan kestabilan kewangan dalam jangka panjang. Tanpa langkah penstrukturan kewangan yang konkrit, syarikat Umobile mungkin menghadapi cabaran serius dalam memenuhi komitmen kewangan dan mengekalkan daya saing di pasaran.
PERTANYAAN AHLI PARLIMEN TASEK GELUGOR
Semalam, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor), mempersoalkan sama ada pemberian lesen spektrum 5G kedua kepada U Mobile Sdn Bhd oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) adalah berdasarkan merit atau hubungan persahabatan.
Minggu lalu, U Mobile telah dianugerahkan spektrum untuk menerajui rangkaian 5G kedua negara, mengatasi pesaing lebih besar seperti Maxis Bhd (KL:MAXIS) dan CelcomDigi Bhd (KL:CDB).
Wan Saiful turut mempertanyakan proses penganugerahan ini kerana terdapat hubungan perniagaan antara Pengerusi SKMM, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, dengan pemegang saham U Mobile, Tan Sri Vincent Tan. Mohamad Salim juga berkhidmat sebagai naib pengerusi di firma pembinaan Malaysian Resources Corp Bhd (KL:MRCB), yang membentuk konsortium bersama Berjaya Land Bhd (KL:BJLAND)—syarikat yang berkaitan dengan Vincent Tan—untuk membida projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura. Berjaya Land dimiliki sebanyak 73.55% oleh Berjaya Corp Bhd (KL:BJCORP), yang diasaskan oleh Tan.
“Saya tertanya-tanya, adakah kita boleh yakin bahawa proses pemberian spektrum 5G adalah sepenuhnya telus apabila seorang rakan niaga menjadi pengerusi SKMM dan seorang lagi rakan niaga dalam syarikat yang menerima lesen tersebut daripada SKMM,” ujar Wan Saiful dalam sidang media di lobi Parlimen petang semalam.