Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin diperintahkan Mahkamah Tinggi hari ini, membayar ganti rugi berjumlah RM1.35 juta kepada Lim Guan Eng selepas didapati bertanggungjawab memfitnah Pengerusi DAP itu.
Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain, mengeluarkan perintah berkenaan ketika membenarkan tuntutan saman fitnah yang dikemukakan Guan Eng selaku plaintif terhadap Muhyiddin (defendan), berhubung isu pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.
Roz Mawar mendapati Guan Eng berjaya membuktikan kesnya terhadap Muhyiddin melalui prinsip imbangan kebarangkalian, iaitu beban pembuktian bagi proses tuntutan saman sivil.
Beliau sehubungan itu, memerintahkan Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri membayar ganti rugi am kepada Guan Eng sebanyak RM1.05 juta, dan ganti rugi teruk serta teladan masing-masing berjumlah RM150,000.
Muhyiddin turut diperintahkan membayar kos berjumlah RM50,000 kepada Guan Eng yang juga bekas menteri kewangan dalam kerajaan PH daripada 21 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020.
Ketika membacakan penghakimannya, Roz Mawar berkata tingkah laku Muhyiddin adalah tidak wajar kerana beliau mempunyai sumber yang boleh digunakan untuk mengesahkan sama ada pemahamannya betul berhubung fakta (dalam kenyataan berkenaan).
Roz Mawar berkata, namun Muhyiddin tidak berbuat demikian dan terus mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Guan Eng selepas plaintif memaklumkan kepada beliau bahawa dakwaan sedemikian dalam kenyataan fitnah itu adalah tidak benar.
“Peguam kepada defendan menghujahkan bahawa bahasa yang digunakan dalam kenyataan fitnah itu adalah tidak bersifat mengapi-apikan.
“Mahkamah ini tidak dapat menerima hujahan sedemikian kerana konteks kenyataan yang dipertikaikan itu adalah dalam maksud semula jadi dan biasa, menimbulkan sentimen perkauman.
“Plaintif juga seorang saksi yang boleh dipercayai dan berwibawa. Beliau tidak goyah walaupun ketika diperiksa balas (semasa perbicaraan). Keterangan ketua bahagian cukai kementerian kewangan menguatkan kes plaintif dan melemahkan pembelaan defendan,” katanya.
Roz Mawar berkata Muhyiddin juga sengaja mencampur-adukkan dakwaannya dengan rujukan yang mengapi-apikan bangsa dan agama sambil menekankan peranan Yayasan Albukhary dalam membantu umat Islam melalui kerja amalnya.
Beliau berkata, mahkamah juga mendapati bahawa Muhyiddin tidak layak menggunakan pembelaan keistimewaan bersyarat kerana kenyataan ini tidak dibuat dalam konteks yang sesuai dan sebaliknya sebahagian daripada kempen awam.
Menurut Roz Mawar, kenyataan itu dibuat sejurus selepas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Muhyiddin, dan ia mencadangkan motif yang tidak wajar untuk mengalihkan perhatian daripada isu yang dihadapinya.
Beliau berkata bukti niat jahat boleh mengatasi prinsip keistimewaan bersyarat, yang mana mahkamah dapati (bukti niat jahat itu ada) berdasarkan bukti bahawa defendan berniat untuk memesongkan siasatan terhadapnya dengan mengaitkan plaintif.
Pada 27 Mac 2023, Guan Eng memfailkan saman terhadap Muhyiddin kerana didakwa mengeluarkan tiga kenyataan berunsur fitnah di Facebook berhubung isu pengecualian cukai pada 9, 11 dan 12 Mac 2023. Laporan itu kemudian diterbitkan beberapa akhbar dan portal berita.
Guan Eng mendakwa kenyataan fitnah itu juga bermaksud beliau menyalahgunakan kedudukan dan kuasanya dengan memberi kuasa atau mengarahkan LHDN mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan itu, sedangkan mereka tidak sepatutnya dikenakan cukai.
Saya mendapat keadilan – Guan Eng
Sementara itu, ketika ditemui selepas prosiding, Guan Eng berkata beliau bersyukur dengan keputusan mahkamah yang menyatakan dengan jelas apa yang dinyatakan oleh Muhyiddin adalah tidak benar dan tidak berasas.
Guan Eng berkata, ia adalah sesuatu kenyataan yang amat menjejaskan dan juga boleh memberi kesan buruk kepada sebuah masyarakat majmuk berbilang kaum.
“Hari ini saya mendapat keadilan untuk membersihkan nama saya kerana sememangnya saya tidak buat (perkara yang didakwa),” katanya.
Pada prosiding itu, Guan Eng diwakili peguam Guok Ngek Seong manakala peguam Chetan Jethwani bertindak bagi pihak Muhyiddin.
Sementara itu Tan Sri Muhyiddin mengarahkan peguamnya untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi hari ini, yang memerintahkan beliau membayar ganti rugi RM1.35 juta kepada Lim Guan Eng kerana memfitnah.
Muhyiddin dalam satu hantaran di laman Facebook, berkata beliau mempertahankan kenyataan yang dipertikaikan itu tidak bersifat memfitnah dan mempunyai pembelaan yang baik.
“Walaupun saya menghormati keputusan mahkamah, saya sangat kecewa dengan keputusan itu.
“Sebagai mematuhi keputusan mahkamah, saya akan memadamkan hantaran yang menjadi subjek kepada tindakan saman ini daripada akaun Facebook dan media sosial saya.