Kerajaan Malaysia melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah memfailkan satu petisyen penggulungan terhadap Quantum Metal Sdn. Bhd. di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Tindakan ini dibuat di bawah Perkara 465(1)(e) Akta Syarikat 2016, dengan tujuan untuk menggulungkan syarikat tersebut atas alasan-alasan tertentu yang tidak dinyatakan secara terperinci.
Petisyen tersebut akan didengar pada 28 Januari 2025 jam 9.00 pagi di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Semua pemiutang atau penyumbang yang mempunyai kepentingan dalam syarikat tersebut diberi peluang untuk hadir dan menyuarakan pandangan mereka, sama ada untuk menyokong atau membantah permohonan penggulungan ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh LHDN, pihak-pihak yang berhasrat untuk terlibat dalam pendengaran tersebut dikehendaki memberikan notis bertulis kepada mahkamah sebelum atau pada 27 Januari 2025 jam 12.00 tengah hari. Segala dokumentasi yang diperlukan boleh diperoleh dari pejabat peguam yang mengendalikan kes ini, Umi Khairunnisa bt Mohd Soffian Lee, Penasihat Hasil dari LHDN.
Alamat LHDN yang menguruskan petisyen ini adalah di Cawangan Litigasi Lembah Klang, Tingkat 2, Blok 10, Kompleks Bangunan Kerajaan di Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur.
Quantu Metal sentiasa mencetuskan kontroversi. Tahun lalu BNM tampil memberi penjelasan beberapa dakwaan salah yang tular termasuk dakwaan mengatakan aktiviti QMSB diluluskan dan dilesenkan oleh BNM sebagai tidak benar.
QMSB hanyalah sebuah institusi pelapor di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) kerana berurusan dengan logam atau batu berharga, iaitu aktiviti yang disenaraikan sebagai perkara 24 di bawah Bahagian 1 dalam Jadual Pertama AMLA.
Begitu juga Quantum Metal menerima teguran Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengarahkan Dato’ Lim Khong Soon @ Lim Hock Seng, Pengasas dan Pengarah Quantum Metal Exchange Inc (QMEI), untuk segera menghenti dan menamatkan penawaran saham QMEI kepada orang awam.
Arahan henti dan tamat tersebut dikeluarkan berikutan penemuan SC bahawa QMEI menawarkan sahamnya kepada masyarakat awam Malaysia, termasuk melalui laman web/platform Quantum Metal Sdn Bhd (QMSB) kepada ahli QMSB yang jelas melanggar Seksyen 212 (5) Akta Pasaran Modal & Perkhidmatan 2007.
Kali ini Quantum Metal tidak membayar cukai LHDN pula.