U Mobile, kontraktor Ali Baba baharu untuk tender rangkaian 5G kedua ?

keputusan untuk memberikan tender rangkaian 5G kedua kepada U Mobile menimbulkan pelbagai persoalan mengenai kemampuan syarikat tersebut, ketelusan proses pemilihan, dan implikasi kewangan kepada negara.

Ini selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memilih U Mobile untuk melaksanakan rangkaian 5G kedua negara. Langkah ini sepatutnya membuka persaingan dan meningkatkan infrastruktur digital negara.

Namun, dengan banyak butiran yang diselubungi rahsia, kita tertanya-tanya: Apa sebenarnya yang sedang berlaku di belakang tabir

Pihak pengawal selia perlu menerangkan keseluruhan proses pemilihan ini kepada rakyat Malaysia, langkah demi langkah, dan menjelaskan mengapa U Mobile, sebuah syarikat yang lebih kecil, dianggap sebagai pilihan terbaik berbanding gergasi telko seperti Maxis dan CelcomDigi.

Bagaimana U Mobile, yang kekurangan skala dan kapasiti berbanding pesaingnya yang lebih besar, merancang untuk melaksanakan tugas besar ini?

Siapa sebenarnya pemilik U Mobile?

Keputusan untuk menyerahkan tender rangkaian 5G kedua Malaysia kepada U Mobile telah menimbulkan banyak persoalan. Yang menariknya , U Mobile , walaupun mereka bercita-cita tinggi, jauh hakikat daripada menjadi pemain terbesar dalam industri.

Berbeza dengan CelcomDigi dan Maxis yang membina rangkaian sendiri di seluruh negara, U Mobile beroperasi sebagai Pengendali Rangkaian Maya Mudah Alih (MVNO), bergantung kepada infrastruktur yang dikongsi dan bukan menara milik mereka sendiri.

Perbezaan yang menjadi persoalan serius: bagaimana U Mobile, tanpa infrastruktur yang berdikari, diharapkan untuk melaksanakan tanggungjawab besar ini bagi pelaksanaan rangkaian 5G kedua Malaysia?

Namun, sejurus selepas pengumuman dibuat, SKMM menambah syarat bahawa U Mobile boleh bekerjasama dengan telko lain untuk melaksanakan tugas ini. Kelonggaran untuk projek infrastruktur bernilai berbilion ringgit?

Seolah-olah SKMM  telah mengetahui bahawa U Mobile tidak mampu melaksanakan tugas besar ini secara bersendirian. Mereka kelihatan memberi ruang untuk U Mobile menyerahkan aspek-aspek penting projek ini kepada Maxis atau CelcomDigi, telko yang memiliki saiz, pengalaman, dan sumber yang diperlukan oleh projek ini.

Jadi, mengapa berikan tender kepada U Mobile pada awalnya? Apakah yang sebenarnya dirancang oleh SKMM?

Dari awal, kelihatan SKMM berusaha keras untuk memastikan perjanjian ini berjaya, sambil memberi ruang kepada U Mobile untuk “berkongsi” peranannya. Dalam kebanyakan proses tender, pemilihan Sub Kontraktor biasanya diserahkan kepada budi bicara kontraktor utama. Tetapi dalam kes ini, SKMM, sebagai badan pengawal selia, seolah-olah menentukan bahawa U Mobile boleh melibatkan pesaing untuk membantu.

Apa yang sebenarnya berlaku? Mengapa kelihatan seperti SKMM berhati-hati, menolak U Mobile ke hadapan hanya untuk membiarkannya bergantung kepada pesaing yang sepatutnya boleh mengambil alih projek ini secara langsung?

Keseluruhan susunan ini terasa seperti ada sesuatu yang lebih dirancang, seolah-olah ada skrip di belakang tabir yang kita tidak nampak.

Pintu tertutup rapat, akses dinafikan

Mari Fikirkan Sejenak — Pelan Akses dan Interkoneksi (AIP) serta spesifikasi tender untuk rangkaian kedua ini tidak didedahkan kepada umum. Bayangkan projek sebesar itu yang akan membentuk landskap digital negara, memberi kesan kepada jutaan rakyat Malaysia, namun tiada pembayar cukai, pakar telekomunikasi, atau agensi pemantau diberi peluang melihat spesifikasinya.

Digital Nasional Berhad (DNB), penyedia 5G pertama Malaysia yang dibina dengan dana awam, bukan sahaja diketepikan malah dihalang akses kepada dokumen penting ini dan ianya tidak terhenti di situ.

Menteri Digital, pegawai tertinggi yang bertanggungjawab memastikan ketelusan dalam sektor telekomunikasi, membuat permintaan rasmi untuk akses kepada maklumat ini. namun permintaannya itu telah ditolak.

Dan Kementerian Kewangan, yang bertanggungjawab menjaga dana awam? Mereka juga dinafikan akses, langsung tidak dapat melihat spesifikasi tersebut. Ini bukan sekadar rahsia kecil; ia adalah tembok yang tidak dapat ditembusi. Dan apabila ia melibatkan aset nasional seperti spektrum 5G, kepentingannya jauh lebih tinggi.

Lupakan proses tender yang mencurigakan — ribut sebenar sedang melanda dengan pembinaan rangkaian kedua itu sendiri

Marilah kita berhenti sejenak dan mempertimbangkan apa maksudnya. Spektrum 5G bukan sekadar ” air waves ; ia adalah sumber nasional yang penting dan kita memiliki setiap daripadanya. DNB, penyedia 5G pertama kita, ditubuhkan sebagai entiti kerajaan yang dibiayai oleh berbilion ringgit wang pembayar cukai.

Jika DNB terjejas oleh tambahan rangkaian kedua ini, kerajaan mungkin perlu menampung kosnya, dan beban itu dan seperti biasa ianya jatuh kepada pembayar cukai.

Tambahan pula, terdapat pelaburan berbilion ringgit oleh Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dalam sektor telko. Institusi seperti KWSP, KWAP, dan PNB, yang memegang gabungan RM30 hingga RM40 bilion dalam saham seperti Axiata, CelcomDigi, dan Maxis, berisiko mengalami kemerosotan nilai pelaburan apabila pasaran dibuka.

Ini bukan sekadar kerugian korporat; ini adalah tamparan langsung kepada kekayaan rakyat Malaysia sendiri. Dengan dana persaraan yang menjadi taruhan, impak rangkaian 5G kedua ini bukan sahaja melibatkan sambungan digital tetapi juga kehidupan rakyat.

Melainkan, salah satu daripada mereka menjadi “rakan kongsi” U Mobile.

Pelaburan DNB di bawah ancaman

DNB telah pun membelanjakan berbilion ringgit untuk pelaksanaan 5G di Malaysia, berdasarkan model rangkaian tunggal untuk menyediakan akses mampu milik dan meluas. Keseluruhan projek ini diasaskan untuk mencegah penduaan rangkaian dan kos yang tidak perlu.

Dengan memperkenalkan persaingan pembekal rangkaian , kerajaan berisiko merosakkan strategi asal ini.

Keputusan untuk memperkenalkan rangkaian 5G kedua di Malaysia telah menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinannya kerugian kewangan yang akan dihadapi oleh pembayar cukai. Bekas menteri Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan memberi amaran bahawa langkah ini boleh menyebabkan Digital Nasional Bhd (DNB) yang dikendalikan oleh kerajaan menghadapi kegagalan.

Mereka memberi amaran bahawa dengan meninggalkan model rangkaian tunggal ianya boleh menyebabkan pelupusan besar, termasuk RM900 juta untuk peralatan yang tidak digunakan, sementara DNB mungkin memerlukan tambahan RM1.6 bilion untuk mencapai sasaran prestasi akibat perubahan spektrum.”

Ahli Parlimen pembangkang, Wan Saiful Wan Jan, turut menyuarakan kebimbangan mengenai risiko konflik kepentingan ini dan isu undang-undang bagi pengendali rangkaian mudah alih di bawah struktur baharu ini, yang berpotensi membebankan pembayar cukai dengan tambahan kerugian.

Beliau menekankan bahawa pengenalan rangkaian 5G kedua boleh menjejaskan pelaburan besar yang telah dibuat oleh Digital Nasional Berhad (DNB). DNB telah membelanjakan RM5 bilion untuk infrastruktur 5G sedia ada, dengan meminjam sejumlah besar daripada sistem perbankan.

Ini adalah risiko besar, bukan sekadar peralihan strategik; ia berpotensi menjadi bencana kewangan dan undang-undang.

Proses yang diselubungi kegelapan — di manakah akauntabiliti?

Sekarang kita beralih kepada MCMC, penjaga keadilan dan ketelusan. Bagaimana mereka mempertahankan proses ini sebagai adil apabila spesifikasi dalam AIP kekal tersembunyi? Tanpa dokumen-dokumen ini, bagaimana kita sebagai orang awam dapat mempercayai bahawa kriteria tersebut adalah adil?

Hanya ada satu cara — spesifikasi dalam AIP mesti didedahkan. Hanya dengan itu kita dapat meneliti aspek teknikal, memahami logik di sebalik keperluan, dan melihat jika peraturan diterapkan dengan saksama.

Peringatan penting di musim belanjawan 2025

Semua ini berlaku di tengah perdebatan belanjawan nasional 2025, ketika penggubal undang-undang membincangkan pengurusan dana awam. Untuk mengumumkan keputusan sebesar ini tanpa ketelusan penuh adalah lebih daripada masa yang tidak tepat; ia adalah penghinaan kepada rakyat Malaysia yang menuntut akauntabiliti.


Penafian – Artikel ini pertama kali diterbitkan dalam versi Bahasa Inggeris di laman web politkonomi yang boleh dilayari di sini

Pihak editorial hanya menterjemahkannya ke dalam Bahasa Melayu serta penukaran bahasa yang lebih sesuai untuk menyebarluaskan isu-isu yang dibangkitkan oleh penulis tersebut. Terjemahan ini tidak mencerminkan pendirian pihak pengendali laman web Malaysia Korporat.

Back To Top