Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dirinya Robin Hood apabila didakwa cuba ‘mencuri’ daripada orang kaya lalu diberikan kepada orang miskin, menerusi pelaksanaan rasionalisasi subsidi.
Sebaliknya, Perdana Menteri menjelaskan dasar yang dilaksanakan itu bertujuan memastikan pengagihan subsidi misalnya dilakukan dengan lebih adil, mengambil kira pendapatan individu.
“Kita tidak mahu mencukaikan orang ramai. Jadi kita kenakan cukai yang sedikit dan kita tarik subsidi daripada orang kaya. Itu dilihat falsafah ekonomi Robin Hood iaitu ambil daripada yang kaya dan bagi kepada orang miskin. Ia bukan Robin Hood. Ia tarik subsidi sahaja (daripada orang kaya).
“Malaysia adalah antara beberapa negara di dunia ini yang mempunyai subsidi tertinggi dan kadar cukai rendah. Jadi kita berikan subsidi kepada semua orang. Boleh anda bayangkan elektrik sebelum kita laksanakan program rasionalisasi subsidi. Orang kaya di negara ini dapat subsidi
“Mereka ada 10, 15 pendingin hawa di rumahnya. Maksud saya ini tidak adil Adakah kita kenakan cukai tambahan? Tidak. Saya cuma kata anda bayar kos harga dan jangan terima subsidi. Bagi saya ia adil,” katanya dalam program Temu Anwar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Pengerusi Lembaga UPNM, Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim dan Naib Canselor, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad.
Bagi pihak yang mempolitikkan isu berkenaan, Perdana Menteri menegaskan bahawa ia adalah urusan mereka.
Di pihak kerajaan, Anwar menegaskan yang pihaknya akan sedaya upaya untuk meneraju negara ini dengan sebaik mungkin, demi kesejahteraan rakyat.
“Jika mereka ingin jadikan ini sebagai isu politik atau katakan kita tidak adil, itu adalah urusan mereka.
“Saya nak bagi yang saya sudah lama bertarung. Insya-Allah kita akan lakukan yang terbaik. Kita akan laksanakan sebaiknya demi selamatkan negara ini dan selamatkan rakyat terbanyak,” katanya.