Sabah kini melangkah lebih jauh dalam pembangunan tenaga boleh baharu dengan menumpukan perhatian kepada Inisiatif Penukaran Tenaga Terma Lautan (OTEC). Forum yang dianjurkan bersama oleh Sabah Maju Jaya (SMJ), Invest Sabah Berhad (ISB), dan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECOS) ini bertujuan untuk menggalakkan kerjasama dan inovasi dalam sektor tenaga hijau.
Menurut Dr. Firdausi Suffian, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sabah Berhad, Sabah kini menerajui pembangunan tenaga boleh baharu, khususnya melalui usaha mempromosikan OTEC. Sabah dilihat sebagai pemain utama dalam penyelesaian tenaga lestari, dengan menawarkan peluang unik kepada pelabur tempatan dan antarabangsa untuk memanfaatkan sumber alam semula jadi yang kaya serta infrastruktur yang kukuh.
Bagi Ketua Pegawai Penyelarasan Sekretariat Sabah Maju Jaya Datuk (Datu) Rosmadi Datu Sulai, pula berkata penekankan visi negeri Sabah adalah untuk membina ekonomi biru regeneratif. Beliau menyatakan keperluan untuk beralih daripada industri tradisional kepada sektor inovatif dan mampan, yang bukan sahaja merangsang pembangunan ekonomi tetapi juga menjana peluang pekerjaan yang besar untuk rakyat Sabah.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Sabah, YBhg. Datuk Ir. Abdul Nasser bin Abdul Wahid, pula menerangkan peranan pengawalseliaan Suruhanjaya dalam memantau projek OTEC. Beliau menegaskan kepentingan menyelaraskan inisiatif ini dengan kepentingan ekonomi negeri sambil memastikan kelestarian alam sekitar. Usaha mengenal pasti tapak berpotensi untuk pembangunan OTEC di Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah sedang giat dijalankan, yang akan membuka jalan untuk masa depan tenaga mampan.
Ketua industri dari Deep Sea Energy Australia, Global OTEC UK, Ocean Thermal Energy Services (OTES), Satu Teguh International Berhad, dan Sinar Development & Consultancy Sdn Bhd bertemu untuk meneroka potensi OTEC di Sabah. Perbincangan mereka merangkumi manfaat teknologi, ekonomi, dan alam sekitar yang dapat diberikan kepada negeri ini.
Melalui kerjasama yang kukuh antara kerajaan, industri, dan rakan kongsi antarabangsa, Sabah sedang memposisikan dirinya sebagai pemimpin serantau dalam tenaga boleh baharu. Dengan menerima pakai OTEC, negeri ini berhasrat untuk memacu pertumbuhan mampan dan memperoleh kedudukan penting dalam sektor tenaga boleh baharu global.