Cukai dividen 2 % pendapatan lebih RM100,000 bermula 2025 kecuali KWSP, ASB-PNB

Kerajaan bercadang memperkenalkan cukai dividen pada kadar dua peratus ke atas pendapatan dividen melebihi RM100,000 yang diterima oleh pemegang saham individu bermula tahun taksiran 2025.

Namun, pertimbangan akan diberikan bagi mengecualikan pendapatan dividen daripada simpanan kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP, amanah saham di bawah Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan pendapatan dividen dari luar negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan cadangan pelaksanaan cukai itu ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, cadangan cukai itu juga adalah sejajar dengan usaha kerajaan untuk meluaskan asas cukai di negara ini secara progresif.

“Kerajaan bercadang meluaskan asas cukai secara progresif dengan memperkenalkan cukai dividen pada kadar dua peratus ke atas pendapatan dividen melebihi RM100,000 yang diterima oleh pemegang saham individu bermula tahun taksiran 2025.

“Ikhtiar ini dilaksanakan supaya cukai pendapatan yang dikutip tidak hanya bergantung kepada sumbangan penerima gaji, tetapi turut merangkumi sumbangan pemilik syarikat serta individu dengan milikan harta saham jutaan ringgit.

“Pertimbangan akan diberikan bagi mengecualikan pendapatan dividen daripada simpanan Kerajaan seperti KWSP, amanah saham di bawah PNB dan pendapatan dividen dari luar negara,” katanya.

Anwar berkata, dalam suasana ekonomi dunia yang rencam kini, kerajaan akan berusaha sedaya mungkin bagi memastikan ekonomi negara kekal teguh dan berdaya saing, selain mempunyai asas yang kukuh bagi menepis sebarang kegawatan yang mampu menggoncang sistem ekonomi negara.

Beliau berkata, segala ikhtiar yang dibentang dalam Belanjawan 2025 adalah untuk menyusul setiap penanda aras Ekonomi MADANI dengan tiga tumpuan iaitu membugar ekonomi, menjana perubahan dan mensejahtera rakyat.

Katanya, reformasi fiskal tahun hadapan akan lebih agresif mencakup peluasan hasil cukai secara progresif dan penyasaran subsidi hanya kepada majoriti rakyat yang memerlukan.

“Kerajaan perlu akur untuk mengambil pendekatan berani menyasarkan subsidi supaya tidak lagi dibelanja secara pukal. Langkah ini telah membawa penjimatan bermakna yang boleh dibelanjakan untuk kepentingan lain,” katanya.

Back To Top