Kerajaan rugi lebih RM100 juta, lupus saham Astronautic Technology pada RM50,000

Kerajaan Persekutuan mengalami kerugian berjumlah RM112,529,000 bagi pelupusan saham Astronautic Technology (M) Sdn Bhd, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) ) 3/2023.

Kerugian itu dicatatkan apabila nilai nominal saham berjumlah RM112,529,000 dijual pada harga RM50,000.

“Pelupusan saham berkenaan dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Ogos 2019.

“Ini kerana tiada keperluan strategik untuk Kerajaan Persekutuan terus memiliki syarikat Astronautic Technology (M) Sdn Bhd dalam agenda memperkasa industri angkasa negara melalui pembangunan satelit penderiaan jauh,” katanya.

Melalui maklum balas yang diterima pada 6 September lalu, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan pelupusan saham Astronautic Technology (M) Sdn Bhd pada nilai nominal

RM50,000 adalah berdasarkan nilai ‘net present value’ di mana segala aset dan liabiliti syarikat sudah disifarkan.

Sehubungan itu, pelupusan terbabit adalah berdasarkan ‘goodwill’ (niat baik) sahaja.

LKAN 3/2023 turut menyatakan MOF membuat pengurangan modal berbayar Pengurusan Danaharta Nasional Berhad daripada RM1 bilion kepada RM900 juta dan transaksi selesai pada tahun 2023.

Astronautic Technology ialah syarikat milik penuh kerajaan Malaysia di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan yang diselia oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Mandat utamanya adalah untuk membangunkan teknologi angkasa lepas dan satelit yang memfokuskan dalam penyelidikan dan pembangunan yang menggunakan teknologi canggih serta inovatif untuk industri angkasa lepas.

Back To Top