Rizab antarabangsa Bank Negara meningkat kepada AS$119.7 bilion

KUALA LUMPUR: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah AS$119.7 bilion pada 30 September 2024 daripada AS$116.8 bilion pada 30 Ogos lalu.

Paras rizab itu memadai untuk membiayai 4.8 bulan import barangan dan perkhidmatan serta 0.9 kali jumlah hutang luar negara jangka pendek, kata bank pusat itu dalam kenyataannya hari ini.

BNM menyatakan paras rizab itu telah mengambil kira perubahan suku tahunan bagi penilaian semula pertukaran asing.

Komponen utama rizab itu merangkumi rizab pertukaran asing (AS$106.8 bilion) dan diikuti dengan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bernilai AS$1.3 bilion, hak pengeluaran khas (SDR) (AS$5.9 bilion), emas (AS$3.3 bilion) dan aset rizab lain (AS$2.4 bilion).

Jumlah aset sebanyak RM601.33 bilion yang merangkumi emas dan rizab pertukaran asing termasuk SDR (RM491.63 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM12.58 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM5.26 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM25.57 bilion), tanah dan bangunan (RM4.10 bilion) serta aset-aset lain (RM62.18 bilion).

BNM berkata modal dan liabiliti berjumlah RM601.33 bilion terdiri daripada modal berbayar (RM100.0 juta), rizab (RM178.87 bilion), mata wang dalam edaran (RM165.31 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM144.18 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM4.87 billion), deposit lain (RM64.96 bilion), kertas Bank Negara (RM12.19 bilion), peruntukan SDR (RM27.22 bilion) dan liabiliti lain (RM3.60 bilion).

– Bernama

Back To Top