GISBH sebuah syarikat pengubahan wang haram berselindung sebalik jenayah guna agama

Isu GISBH bukan sekadar sebuah syarikat tetapi sebuah organisasi yang berevolusi dari sebuah ajaran sesat Al Arqam yang diharamkan kerajaan kerana akidah songsang kepada syarikat baharu Global Ikhwan Sdn Bhd. Syarikat ini berkembang dalam negara dan luar negara dengan ideologi yang sama dengan Al Arqam.

Siasatan PDRM akhirnya menemukan pelbagai kesalahan dari sudut pemesongan agama, penyebaran semula doktrin ajaran sesat Al Arqam, ekspoitasi kanak-kanak, pemerdagangan orang, penderaan, kes liwat, tidak bayar gaji pekerja salah guna kuasa pecah amanah wang derma, kesalahan Akta Syarikat dan pengubahan wang haram.  

Ia bukan isu meruntuhkan ekonomi orang Islam tetapi menggunakan platform GISBH untuk meluaskan ajaran untuk pengikutnya.

Kerajaan memberi jaminan akan memastikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengendalikan siasatan terkait dengan kegiatan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) secara telus, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri, berkata ini termasuk memastikan 542 kanak-kanak di bawah 18 tahun yang ditempatkan di Penempatan Perlindungan Sementara diberikan akses kebajikan, kaunseling, kerohanian dan pendidikan bagi suatu tempoh sehingga selesai siasatan oleh PDRM, Jabatan Agama Islam serta Majlis Agama Negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

PDRM juga telah menyelamatkan semua kanak-kanak didera sebagaimana yang tular baru-baru ini. Guru GISBH yang terlibat juga telah didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berusaha keras menyelesaikan isu GISBH sehingga dituduh dengan siasatan berlebihan dan menafikan adanya pegawai PDRM melindungi kegiatan GISB Holdings (GISBH) seperti ditularkan di media sosial.

Siri serbuan, tangkapan, tahanan reman dan pendakwaan di mahkamah telah dibuat kepada anggota GISBH. Termasuk Pengerusi GISBH Nasiruddin Mohd Ali, keluarganya dan anak-anak Ashaari

Tahanan Akta SOSMA

25 September lalu PDRM mengesahkan 34 tahanan kes GISBH yang telah selesai menjalani tempoh reman akan ditangkap semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Seramai 127 tahanan dibebaskan selepas selesai tempoh reman manakala 24 ahli lagi termasuk Ketua Pegawai Eksekutif GISBH dan isterinya dilanjutkan reman selama empat hari.

Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

Yang Dipertuan Agong Sultan Ibrahim dan Sultan Selangor turut bertitah agar pihak berkuasa segera menamatkan isu GISBH yang mengundang resah kepada rakyat Malaysia.

Meruntuhkan kegiatan GISBH meruntuhkan ekonomi orang Islam?

Polis menerima banyak laporan pekerja GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang mendakwa mereka tidak menerima sebarang bayaran gaji sepanjang bertugas di premis milik syarikat itu di seluruh negara. Pada 8 Sept lepas, Mahkamah Buruh di Johor memerintahkan GISBH membayar RM23,100 kepada seorang bekas pekerjanya yang tidak dibayar gaji sepanjang bekerja dengan syarikat itu.

Mangsa menuntut baki gaji dari Januari hingga Disember 2020 sebanyak RM114,000 dan baki gaji dari Januari hingga Disember 2021 sebanyak RM95,000 dengan jumlah keseluruhan RM209,000.

Polis juga memaklumkan gaji tidak dibayar, pelbagai elaun malah KWSP, Socso dan pelbagai lagi tidak pernah dibayar GISBH.

Turut dimaklumkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendapati GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) tidak pernah membayar cukai tertakluk di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Lebih dari itu konon untuk ekonomi Islam tetapi GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) bukan sahaja tidak membayar cukai tetapi tidak pernah membuat sebarang bayaran zakat di Lembaga Zakat Selangor (LZS). Perkara itu disahkan oleh Ketua Divisyen Kutipan LZS, Muhd Fikri Naim Harun yang memaklumkan, tiada rekod pembayaran zakat diterima daripada GISBH termasuk 20 anak syarikat di bawahnya.

Sementara itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata Kementerian telah mengenakan kompaun berjumlah RM4.4 juta terhadap 12 syarikat yang berkaitan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) baru-baru ini.

Menurut Armizan kompaun itu dikeluarkan setelah siasatan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati kesemua syarikat terbabit tidak mematuhi tanggungjawab menyerahkan penyata tahunan dan penyata kewangan masing-masing.

Bukan itu sahaja selain GISBH, terdapat sebanyak 17 syarikat lain menggunakan nama GISB dalam pendaftaran SSM dan semakan data di laman sesawang berkaitan GISB atau ‘Ikhwan’ pula mendapati sebanyak 201 perniagaan boleh dikaitkan dengan GISB.

Syarikat dalam negara

“Antara tanggungjawab syarikat setiap tahun ialah perlu mengemukakan penyata kewangan mereka yang telah diaudit. Siasatan SSM mendapati 12 syarikat ini tidak patuh dengan tanggungjawab menyerahkan penyata tahunan dan penyata kewangan,” katanya

Armizan berkata dalam isu GISBH, KPDN bertanggungjawab membantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari segi perundangan serta ketidakpatuhan terhadap akta berkaitan oleh rangkaian-rangkaian perniagaan mereka. 

GISBH: PENGUBAHAN WANG HARAM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan siasatan terhadap GISB Holdings (GISBH) melalui Op Global ketika ini tertumpu kepada usaha menjejak aliran wang termasuk aset dalam negara yang dikaitkan dengan syarikat itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata, proses itu dijangka memakan masa memandangkan usaha menjejaki aset dan transaksi aliran wang itu membabitkan kedua-dua sekali baik melalui akaun syarikat mahupun individu.

“Proses menjejaki dana milik GISBH ini sedang berjalan termasuk mengesan akaun-akuan beberapa syarikat berkaitan serta akaun-akaun peribadi milik individu tertentu sama ada ahli GISBH atau orang luar.

“Setakat ini, sebahagian besar aset-aset GISBH sudah pun disita melalui serbuan dijalankan sebelum ini membabitkan Fasa 1 hingga 4 Op Global baru-baru ini,” katanya

PDRM setakat ini membekukan keseluruhan 153 akaun bank berkait GISBH membabitkan nilai lebih RM880,000 setakat ini. Turut dibekukan 22 kenderaan pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM1,872,085 serta 14 lot hartanah yang nilainya masih dalam siasatan.Tindakan pembekuan diambil mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613).

Penahanan Tuan Usu pengendali dana haram GISBH

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sudah menahan Shuhaimee Mohamed pengendali semua dana-dana dalam rangkaian GISBH. Shuhaimee diberkas dalam Op Global Fasa 4, di Butterworth, Pulau Pinang 22 September lalu. Siasatan dijalankan terhadap Shuhaimee bersama beberapa pemimpin lain termasuk meneliti segala akaun berkaitan dengannya.

Katanya, duit akan diuruskan oleh wakil-wakil setiap zon melalui akaun peribadi, wang tunai, emas sebelum disalurkan kepada pengutip atau pengumpul dana iaitu Shuhaimee dan seorang wanita dikenali sebagai Hamimah. Wang berkenaan akan diagihkan kepada 10 individu penting sama ada untuk disimpan atau digunakan untuk membeli aset-aset di atas nama peribadi ahli-ahlinya selain sebahagian kecil untuk pengaliran tunai perniagaan anak-anak syarikat di bawah GISBH.

Dalam satu laporan laman Facebook PUKAS mendedahkan kutipan sumbangan yang diperoleh GISBH melebihi RM2.3 juta melalui 58 zon di seluruh dunia setiap bulan. Kutipan ini disebut MAHAR.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus menjejaki transaksi kewangan dan aset milik GlSB Holdings (GISBH) di dalam negara ini.

Terdapat dakwaan GISBH mempunyai aset melebihi RM300 juta dalam dan luar negara.

Namun kemana semua yang dikutip kerana syarikat induknya GISB Holdings Sdn Bhd sendiri melaporkan kerugian yang mungkin bagi mengelak membayar cukai kepada LDHN.

Bagaimana dengan syarikat-syarikat GISB di luar negara yang menggunakan nama GISBH,Ikhwan atau NUr? Ia seperti sebuah francais moden yang tidak didaftar dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). GISBH hanya mengutip Mahar dan memasukkannya dalam pelbagai akaun.

Berapa juta Ketua Pengarah MSN bayar kepada Restoran Nur Malaysia milik GISB Holdings Paris ketika Paris Olimpik 2024 dan Paralimpik 2024? Ketika itu aduan siasatan dan isu GISBH sudah mula dibangkitkan. Semua dana-dana ini menghidupkan operasi GISBH.

Rakyat Malaysia siasatan PDRM lebih terperinci, siasat sumber kewangan dan alirannya serta penglibatan pegawai kerajaan memberi dana kepada GISBH.

Back To Top