Saham Affin Bank Terus Melonjak

KUALA LUMPUR — Saham Affin Bank Bhd melonjak 4.88% hari ini selepas Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mengumumkan bahawa pengambilalihan pegangan majoriti dalam bank tersebut oleh kerajaan Sarawak akan dimuktamadkan minggu ini.

Pada jam 10.29 pagi, harga saham Affin Bank meningkat 14 sen kepada RM3.01 berbanding harga penutup RM2.87 pada Jumaat lalu.

Sabtu lalu, Abang Johari menyatakan bahawa semua urusan berkaitan, termasuk kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM), telah diselesaikan, dan pengumuman rasmi akan dibuat tidak lama lagi. Sebelum ini, beliau juga menyebut bahawa perjanjian jual beli (SPA) mengenai pegangan saham Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dijangka dimuktamadkan dalam tempoh sebulan.

Pada 8 Januari 2024, Affin Bank dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata LTAT sebagai pemegang saham utamanya mengesahkan sedang berbincang dengan Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak untuk ‘kemungkinan urus niaga membabitkan saham tambahan’.

Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak memiliki 4.796 peratus kepentingan ekuiti dalam Affin Bank setakat 29 Disember 2023 manakala LTAT sebagai pemegang saham terbesar dengan pegangan 28.78 peratus.

Back To Top