Disyaki Rasuah “Counter Setting”, Pengarah syarikat warga Bangladesh Ditahan SPRM

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengarah syarikat warga Bangladesh kerana disyaki terlibat sindiket membawa masuk warga asing melalui pintu masuk negara menggunakan modus operandi  Counter Setting

Menurut sumber, lelaki 50-an itu ditahan dalam operasi SPRM di sekitar Lembah Klang pada 8 malam semalam.

Menurutnya, lelaki itu dipercayai menjadi ejen sindiket dengan memberi rasuah kepada pegawai peguat kuasa bagi membawa masuk warga asing menerusi pintu masuk udara negara menggunakan modus operandi  Counter Setting

Lelaki berkenaan dipercayai memberi rasuah kira-kira RM200 hingga RM25,000 kepada pegawai penguat kuasa sebagai balasan melindungi, memudahkan urusan dan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap warga asing tidak memenuhi syarat serta tidak mengikut prosedur sah.

Selain ejen, sumber berkata, lelaki berkenaan turut dipercayai bertindak sebagai orang tengah sejak 2022.

Lelaki terbabit kini direman dua hari hingga esok selepas Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Back To Top