Sultan Selangor kecewa isu GISB lewat ditangani

KUALA LUMPUR — Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kesal dan kecewa berikutan isu membabitkan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) sudah berlanjutan dalam tempoh lama dan tiada tindakan berkesan diambil bagi menangani perkara itu.

Baginda terkejut dengan berita siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap kegiatan jenayah oleh GISBH dan rangkaiannya sebaik berangkat pulang dari luar negara.

Dalam satu kenyataan rasmi Istana Alam Shah Klang tadi, Sultan Sharafuddin dimaklumkan GISBH melakukan beberapa kesalahan jenayah serius. 

“Pelbagai keterangan menjurus kepada kesalahan jenayah disyaki dilakukan seperti penderaan terhadap pelajar, eksploitasi terhadap kanak-kanak, buruh paksa, kesalahan jenayah seksual termasuk liwat dilakukan di beberapa buah rumah amal termasuk sekolah agama Islam di bawah pengawalan GISBH. 

“Kesalahan berhubung dengan amalan bertentangan dengan akidah agama Islam juga dikesan dan disyaki dilakukan di beberapa premis kumpulan GISBH. Semua perbuatan jenayah ini mencemar nama baik dan kesucian agama Islam.

“Menurut laporan Beta terima, kebanyakan rumah amal di bawah GISBH yang terbabit di dalam siasatan sudah lama beroperasi di beberapa negeri khususnya Selangor tanpa pendaftaran seperti mana keperluan undang-undang yang sedang berkuat kuasa,” demikian kenyataan baginda.

“Kita perlu menerima hakikat bahawa kelewatan menangani perkara ini menunjukkan kelemahan dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang oleh agensi-agensi agama terhadap rumah amal dan sekolah agama Islam berkaitan dengan GISBH. Ia termasuk rangkaiannya hingga menyebabkan perkara ini menjadi begitu serius dan tidak terkawal.

“Menyedari ini perkara serius serta membabitkan umat Islam di negara ini, Beta memanggil mengadap Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ketua Polis Selangor dan beberapa anggota MAIS di dalam satu mesyuarat bagi mendapatkan maklumat lengkap berhubung perkara ini dan mengenal pasti langkah-langkah segera yang perlu diambil bagi menangani perkara ini.

“Berikutan dengan mesyuarat itu, Beta menitahkan semua agensi agama Islam Selangor iaitu MAIS, JAIS, Jabatan Mufti Selangor dan Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor bersama PDRM (Kontinjen Selangor dan Bukit Aman) bekerjasama mengambil langkah serius menyiasat secara mendalam bagi memastikan semua yang terbabit secara langsung dan tidak langsung dengan kesalahan jenayah ini diheret ke mahkamah dan didakwa.

“Pada masa sama, sebagai langkah pencegahan bagi mengelak kanak-kanak yang terlibat dari terus dianiayai, Beta menitahkan semua rumah amal dan sekolah Islam yang di bawah kawalan GISBH dan rangkaiannya yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dengan apa-apa kegiatan jenayah termasuk jenayah syariah hendaklah diarah ditutup segera dan tidak dibenarkan beroperasi di Selangor,” titah baginda.

Baginda turut menggesa Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor mengkaji dan meneliti bagi memutuskan persoalan berkaitan amalan GISBH sama ada ianya menyeleweng atau bercanggah dengan ajaran agama Islam yang sebenar.

Pada masa sama, baginda menasihati ibu bapa dan penjaga yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah agama atau pusat-pusat penjagaan amal menyemak latar belakang sesebuah sekolah atau pusat penjagaan amal itu.

“Tindakan ini penting agar tidak terjebak dengan sekolah dan pusat jagaan tidak berdaftar dan melaksanakan program dan pembelajaran meragukan.

“Ini bertujuan memastikan anak-anak dididik dan dijaga dengan sewajarnya serta mengelak berlaku pengabaian dan eksploitasi terhadap anak-anak itu.

“Ingatlah bahawa anak-anak adalah suatu amanah daripada Allah SWT dan ibu bapa serta penjagalah yang bertanggungjawab untuk mencorak masa depan yang baik untuk anak-anak itu,” titah baginda.

Dalam titah berkenaan, baginda sekali lagi memberi peringatan kepada semua pihak khususnya pihak berkuasa agama untuk memandang serius mengenai isu-isu yang berkaitan dengan tindak-tanduk kumpulan GISBH ini terutama apabila membabitkan kanak-kanak dan ajaran sesat yang disyaki diamalkan oleh mereka. 

“Tindakan segera dan tegas tanpa sebarang kompromi perlu dilakukan di bawah undang-undang terhadap mana-mana pihak yang melakukan jenayah terhadap kanak-kanak dan amalan-amalan yang bertentangan dengan akidah demi memelihara kesucian agama Islam.

“Beta tidak mahu kita hanya diumpamakan sebagai ‘tin kosong’ yakni hanya pandai bercakap tetapi tiada hasilnya. Kita hendaklah berpegang kepada prinsip ‘walk the talk or putting your words into action’. 

“Di samping itu Beta juga menyeru semua agensi penguatkuasa agama dan pihak polis agar menjalankan penyiasatan dengan telus dan sentiasa memelihara integriti dan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka,” titah baginda lagi.

Back To Top