Perdagangan Malaysia meningkat 18.6% pada Ogos 2024 kepada RM252.65 bilion berbanding RM213 bilion setahun sebelumnya.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, angka itu merupakan kadar terpantas dalam tempoh 22 bulan dengan eksport mengekalkan momentum pertumbuhan bagi lima bulan berturut-turut, naik 12.1% kepada RM129.16 bilion.
Menurutnya, import Malaysia pula berkembang sebanyak 26.2% kepada RM123.49 bilion, menghasilkan lebihan dagangan ke-52 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.
“Pertumbuhan eksport Ogos 2024 dipacu terutamanya peningkatan permintaan bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E), minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan optik dan saintifik.
“Selain daripada itu, eksport barangan perkilangan turut mencatatkan pertumbuhan ketara dua digit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut MITI, dari segi pasaran, eksport ke rakan dagang utama iaitu ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Taiwan merekodkan pertumbuhan.
Katanya, eksport ke AS melonjak kepada nilai tertinggi baharu, disumbangkan terutamanya oleh peningkatan permintaan bagi barangan E&E khasnya peranti semikonduktor dan litar bersepadu elektronik (ICs).
“World Semiconductor Trade Statistics (WSTS) mengunjurkan jualan semikonduktor global akan meningkat sebanyak 16% pada tahun 2024 disokong oleh prestasi pasaran pengkomputeran pengguna akhir yang lebih kukuh,” jelasnya.