HSR Kuala Lumpur – Singapura milik YTL atau Berjaya?

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka membuat keputusan mengenai keperluan melaksanakan semula projek pembinaan laluan kereta api laju (HSR) antara Kuala Lumpur – Singapura, pada suku keempat tahun setelah menyenarai pendek tiga konsortium.

Mata penganalisis tertumpu kepada tiga konsortium iaitu YTL Construction Sdn Bhd-SIPP Rail Sdn Bhd; Berjaya Rail Sdn Bhd – Malaysian Resources Corp Bhd-IJM Construction Sdn Bhd-Keretapi Tanah Melayu Bhd (BRail-MRCB-IJM-KTMB) dan Konsortium yang diterajui oleh China Railway Construction.

Dalam satu temu bual bersama Bloomberg, Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, berkata kerajaan sedang menimbang cadangan daripada beberapa konsortium swasta yang telah disenarai pendek.

Loke menambah bahawa kerajaan telah menyenarai pendek tiga daripada tujuh konsortium yang mengemukakan cadangan selepas permintaan maklumat yang dikeluarkan akhir tahun lepas.

Beliau tidak mendedahkan nama konsortium tersebut, namun mengesahkan bahawa dasar kerajaan adalah untuk memberikan projek HSR kepada kumpulan yang sekurang-kurangnya 51 peratus dimiliki oleh syarikat Malaysia.

Pada bulan Mac, platform berita ekonomi, The Edge, melaporkan bahawa cadangan berasingan yang diketuai oleh YTL Corp, Berjaya Land Bhd, dan China Railway Construction Corporation telah disenarai pendek untuk projek ini.

Berdasarkan kenyataan terbaharu Loke, persaingan dijangka antara YTL yang dimiliki oleh Tan Sri Francis Yeoh atau Berjaya yang dimiliki oleh Tan Sri Vincent Tan. Kedua-dua syarikat ini mempunyai pengaruh besar di Malaysia – sebuah negara yang masih mempunyai ‘sistem’ naungan politik yang kuat.

Mereka sering kali melantik individu yang mempunyai pengaruh besar dalam pentadbiran negara sebagai sebahagian dari pengurusan tertinggi syarikat.

Rabu lalu Berjaya Rail, anak syarikat Berjaya Land,  telah menyertai Perbadanan Industri Rel Malaysia (MARIC) sebuah persatuan yang terdiri daripada 50 syarikat rel utama dengan objektif mewujudkan kerjasama swasta-awam dalam membina rangkaian rel.

Bagaimanapun pengaruh besar kedua-dua peneraju konsortium berlainan ini mungkin akan menghasilkan kompromi atau konsensus baharu. Pemerhati tidak menolak satu konsensus akan dicapai dengan kosortium sedia ada dibubarkan dan YTL-Berjaya akan menubuh konsortium baharu bagi melaksanakan projek ini.

Projek HSR berkepanjangan 350 km dengan kelajuan maksimum 350 km/j ini pertama kali dicadangkan pada 2013 dan dimerterai perjanjian pelaksanaan pada Disember 2016 . Ia dijangka beroperasi menjelang 2026.

Namun disebabkan faktor kewangan akibat pandemik Covid-19, Malaysia membatalkannya  pada Disember 2020 dan membayar lebih daripada S$102 juta (AS$75.8 juta) sebagai pampasan kepada Singapura untuk projek yang dibatalkan.

Perbincangan mengenai kebangkitan semula projek ini semakin kuat selepas Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim mengambil alih kuasa selepas pilihan raya 2022 dan lawatannya ke Singapura awal tahun lepas di mana beliau bertemu dengan pemimpin Singapura.

Pada Disember tahun lepas, Sultan Johor, kini Yang Di-Pertuan Agong,  Sultan Ibrahim Iskandar, mencadangkan pemulihan projek ini dengan mengubah trek untuk melibatkan  Forest City.

HSR bertujuan untuk mengurangkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada 90 minit daripada lebih empat jam dengan kereta.

Back To Top