Chegubard lapor SPRM skandal RM10 bilion terkait Taikun Vincent Tan Berjaya Group

Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali sebagai Chegubard semalam membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung skandal dalam pentadbiran Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari membabitkan tanah bernilai RM10 bilion.

Katanya, laporan itu dilampirkan dengan dokumen setebal 200 muka surat termasuk dokumen bertaraf sulit. 

“Antaranya lima kerja majlis mesyuarat kerajaan negeri dan perjanjian antara Landasan Lumayan dan Berjaya Land Berhad milik taikun Vincent Tan.

“Melalui dokumen yang dihantar, jelas menunjukkan telah berlaku beberapa salah laku teknikal dan moral,” katanya pada sidang media hari ini.

Badrul turut menggesa agar kerajaan negeri Selangor menukar status dokumen itu untuk didedahkan kepada orang ramai.

Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd, syarikat yang dimiliki oleh Menteri Besar Incorporated sebanyak 45% dan Berjaya Land sebanyak 55%  menjadi tumpuan selepas dianugerahkan projek membersihkan Sungai Klang dengan nilai RM700 juta. 

Amirudin dan anggota exco, Izham Hashim merupakan ahli lembaga pengarah syarikat berkenaan. 

Menurut Badrul, berdasarkan peratusan pemilikan, dakwaan Amirudin bahawa syarikat berkenaan merupakan anak syarikat kepada kerajaan negeri adalah tidak benar.

“Vincent Tan ada dalam syarikat itu tetapi melalui carian terbaru pagi tadi, saya percaya kerana serangan yang dilakukan, Vincent Tan telah keluar daripada syarikat ini,” katanya.

Amirudin sebelum ini menghantar surat tuntutan kepada Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang mengulas mengenai skandal itu dalam satu ceramahnya di Kedah baru-baru ini.

Media sebelum ini melaporkan, Selangor akan menjual majoriti saham dan ratusan ekar tanah milik kerajaan kepada syarikat kepunyaan Tan itu sebagai langkah penyelesaian hutang membabitkan projek bernilai RM10 bilion.

Projek itu, Selangor Maritime Gateway (SMG) membabitkan kawasan seluas 56 kilometer di sepanjang jajaran Sungai Selangor.

Dalam pada itu, Badrul berkata dokumen yang diserahkan kepada SPRM itu adalah lengkap.

“Kali ini Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki tidak perlu bercakap berpusing-pusing kerana pegawai telah cop (dokumen) dan saya telah terima nombor laporan tersebut.”

Back To Top